Jual RON95: Tindakan hanya terhadap pengusaha stesen minyak
JOHOR BAHRU - Tindakan undang-undang hanya boleh dikenakan ke atas pengusaha stesen minyak dan bukan kepada individu warganegara asing yang mengisi petrol bersubsidi RON95 melibatkan kenderaan mereka yang berpendaftaran asing.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, justeru, pengusaha stesen minyak di negeri ini perlu bertindak proaktif dalam mencegah kenderaan berpendaftaran asing daripada mengisi petrol bersubsidi.
"Tindakan hanya kepada pemilik stesen minyak atau pengusaha stesen minyak dan bukan kepada pemilik kenderaan, sebab itu pengusaha kena pastikan ia tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan dengan jelas kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri ini ketika mereka mahu mendapatkan lesen perniagaan.
Mohd Hairul Anuar berkata, antara langkah mengekang penyelewengan itu daripada terus berlaku, orang awam diminta memberi kerjasama dengan mengambil bukti bergambar melibatkan warga Singapura yang bertindak mengisi petrol RON95 berserta butiran lengkap lokasi stesen minyak, tarikh dan masa kejadian.
"Ambillah gambar, kita tak ada masalah tetapi sertakan sekali bukti yang jelas. Kami komited untuk membanteras kesalahan tersebut kerana petrol RON95 adalah hak warganegara dan KPDNHEP Johor akan pastikan hak pengguna di negeri ini dilindungi," katanya sambil menambah aduan berkenaan boleh disalurkan melalui laman https://eaduan.kpdnhep.gov.my atau aplikasi WhatsApp 019-2794317.
Menurut beliau, larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Oktober 2020 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia namun, kenderaan bernombor pendaftaran negara asing dibenarkan membeli petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan.
Katanya, setakat ini, seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor ditempatkan di beberapa stesen minyak bagi memantau serta membuat pemeriksaan selain sebanyak tujuh aduan diterima berhubung kesalahan itu dan tiga daripadanya sedang disiasat.
Baru-baru ini, tular gambar memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol ke tangki kenderaan menggunakan nozel kuning yang disyaki RON95.
Pada Ahad lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kementerian telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
Akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.
Sementara itu, Mohd Hairul Anuar berkata, menerusi Op Pantau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 40 kompaun terhadap peniaga dan pemborong ayam di daerah Johor Bahru, setakat pagi tadi.
"Sehubungan itu, saya nasihatkan kepada peniaga dan pengusaha supaya patuhi peraturan sedia ada dan berniaga dengan beretika. Letak tanda harga, mana-mana peniaga jangan naikkan harga secara mendadak dan sewenang-wenangnya," katanya.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan dijalankan di negeri ini, pihaknya juga mendapati barangan keperluan asas adalah mencukupi sepanjang tempoh Ramadan ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!