Nasihin Nubli puji karakter skuad remaja
PENGENDALI skuad hoki remaja negara, Nasihin Nubli Ibrahim memuji peningkatan dipamerkan para pemainnya walaupun terpaksa akur kehebatan India apabila tewas 0-4, dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan, pada Selasa.
Malah Nasihin Nubli mahu para pemainnya mengambil pengajaran positif dalam setiap perlawanan yang diharungi sebelum ini dalam memantapkan semula persediaan untuk mengharungi baki saingan kempen kejuaraan tersebut.
“Saya gembira apabila para pemain menunjukkan peningkatan dalam satu perlawanan demi satu perlawanan. Malah mereka juga berusaha keras dan memberikan aksi terbaik dalam menyaingi India tetapi pasukan itu sangat bagus,” katanya.
Untuk rekod, anak buah Nasihin Nubli menyingkap tirai kempen dengan langkah kiri apabila tewas 0-10 kepada Jerman sebelum diikat Wales 3-3 ketika pada perlawanan kedua.
Skuad negara selepas ini akan mengharungi perlawanan penentuan kedudukan kesembilan hingga ke-16 yang bermula pada Jumaat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!