Saran tubuh biro kluster baharu di bawah SPRM

Yusuf Azmi
Yusuf Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia berpandangan supaya satu biro kluster yang baharu ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah di negara dengan lebih berkesan.

Pengerusinya, Yusuf Azmi berkata, ia termasuklah menubuhkan kaunter-kaunter di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan juga Imigresen yang menjadi pemerhati kepada kegiatan rasuah, khususnya dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat umum.

“Bukan tujuan untuk merendah-rendahkan. Ini untuk memperbaiki, membaik pulih atau lebih memperkemaskan lagi sistem penguatkuasaan.

“Justeru, saya cadangkan supaya wujudkan satu kluster yang baharu di bawah biro SPRM untuk duduk di bawah satu agensi, termasuklah mewujudkan kaunter-kaunter di IPD dan juga Imigresen.

“Ini bertujuan supaya ada tempat untuk orang ramai membuat aduan, sekali gus menjadikan ketakutan kepada mereka yang mengambil dan menerima rasuah,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Tak Peduli Halal Haram’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.

Program yang dimoderatorkan Hanif Miswan itu turut menampilkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ahli Dewan Negara, Senator Fadhlina Sidek sebagai panel jemputan.

Dari atas kiri: Hanif, Musa, Fadhlina dan Yusuf ketika program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Tak Peduli Halal Haram’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.
Dari atas kiri: Hanif, Musa, Fadhlina dan Yusuf ketika program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Tak Peduli Halal Haram’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata, rasuah itu umpama virus yang sangat berbahaya dan harus segera dibanteras.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, rasuah juga berlaku disebabkan seseorang itu mempunyai wang dan kuasa.

“Bila ada kuasa dan duit, semua benda boleh berjalan dengan lancar. Kalau tidak ada duit, kuasa, maka tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan.

“Ada juga peguam memberitahu saya bahawa mahkamah umpama sidang duit. Malah, orang ramai turut memberitahu perkara sama. Ini bukan nak menghina mahkamah. Cuma, saya nak katakan di sini orang yang ada duitlah yang menguasai di dalam mahkamah.

“Sebab itu kalau rasuah ini tidak dibenci oleh masyarakat, tidak digerakkan kempen besar-besaran, maka saya rasa negara kita akan ke arah kemusnahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!