Universiti bukan untuk samseng, pelampau: Maszlee
KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan, universiti bukan tempat untuk golongan pelampau sebaliknya medan intelektual terbuka.
"Universiti ialah platform untuk kita berbincang, berdebat, berwacana dan berforum secara aman.
"Ia bukanlah, tempat untuk kumpulan samseng, pelampau mahupun pengganas. Justeru, saya kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM), siang tadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian, susulan kejadian pergelutan melibatkan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa pelajar UM pada program santai Najib yang berlangsung di hadapan universiti terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya kesal dengan pergaduhan ini: Najib
Program santai Najib kecoh, pelajar dicekik dari belakang
Tambah Maszlee, sekiranya terdapat unsur jenayah diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan kerana kejadian itu disifatkan merosakkan nilai budi dan norma masyarakat tempatan yang terkenal dengan kesopanan dan kesusilaan.
"Bagi anak mahasiswa, jangan malu. Ada beban tanggungjawab yang harus kita pikul untuk masyarakat. Kita harus terus ke depan melawan kebobrokan dan menyatakan kebenaran," tegasnya.
Terdahulu, hari ini program Najib yang berlangsung secara santai pada mulanya bertukar kecoh selepas beberapa penuntut UM bertindak memegang plakad sambil menjerit “penipu” dan “mana RM2.6 bilion” ketika Ahli Parlimen Pekan itu berucap.
Ini termasuklah, mengangkat plakad yang mempamerkan gambar badut dikatakan menyerupai Najib.
Akibatnya, beberapa penyokong Najib berang lantas menemui kumpulan pelajar terbabit mempersoalkan tindakan mereka berbuat demikian sehingga berlakunya pergelutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!