Ketinggalan dua gol kesilapan sendiri

Pemain Negeri Sembilan, Matheus Alves (kiri) dikawal pemain Selangor, Sahrul Nazeem pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa.
Pemain Negeri Sembilan, Matheus Alves (kiri) dikawal pemain Selangor, Sahrul Nazeem pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa.
A
A
A

PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Devan menyifatkan pasukannya sepatutnya boleh mendapatkan tiga mata sekiranya tiada kesilapan dilakukan sehingga menjaringkan gol sendiri dan menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan semasa aksi berintensiti tinggi menentang Selangor FC.

Apatah lagi jelasnya, dengan Selangor yang hanya beraksi 10 pemain dan ia sepatutnya memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan untuk cuba memenangi perlawanan semalam.

“Saya rasa kita akan berpuas hati sekiranya dapat kutip tiga mata apatah lagi bermain di laman sendiri, tetapi ketinggalan dua gol atas kesilapan sendiri dan kalau kita berjaya ikat 0-0 di separuh masa pertama, mungkin situasi berbeza di separuh masa kedua.

“Pujian kepada semua pemain walaupun ketinggalan, tetapi kita berjaya jaringkan dua gol dan selepas Selangor bermain dengan 10 orang, kita dapat menguasai permainan.

“Bagi saya, Selangor bukan pasukan mudah dan kalau kita tengok rata-rata pemain dalam kesebelasan utama mereka termasuk pemain import, di atas kertas, mereka adalah lebih baik, cuma kita dapat sedikit kelebihan apabila mereka hilang seorang pemain,” katanya.

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, The Red Giants terlebih dahulu mendahului selepas tonggak Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan tertampan hantaran pemain pelawat ke gawang sendiri pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, pelawat yang menggandakan asakan kemudian melebarkan jaringan apabila Herlison Caion menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50.

Tidak terkesan ketinggalan dua gol, skuad asuhan Devan kembali mempamerkan kebangkitan menyaksikan Herold Goulon merobek gawang pelawat pada minit ke-58 sebelum Evanonye Kossi Adetu meledak gol penyamaan pada minit ke-76 untuk keputusan 2-2.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!