Puasa ajar erti susah, sabar: Mualaf

Josselyn atau nama Islamnya, Nur ilynna Chew (kiri) bersama suami, Ismail (kanan) dan anak lelaki mereka, Mikail.
Josselyn atau nama Islamnya, Nur ilynna Chew (kiri) bersama suami, Ismail (kanan) dan anak lelaki mereka, Mikail.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majoriti umat Islam dibimbing untuk berpuasa sejak berusia lima atau enam tahun namun bagi individu baharu memeluk Islam kewajipan berpuasa mungkin agak berat tetapi tetap dilaksanakan mengikut kemampuan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata individu dan keluarga mualaf yang ditemui melahirkan keterujaan mereka dalam menyambut bulan Ramadan mahupun sudah bertahun-tahun memeluk Islam.

Anwar Lim Abdullah, 43, yang berasal dari Pulau Pinang berkata, pengalaman awal berpuasa 15 tahun lalu amat mengajar beliau erti kesusahan orang miskin dan menuntut kesabaran serta keimanan yang tinggi.

Anwar Lim Abdullah
Anwar Lim Abdullah

“Sebelum memeluk Islam, saya ada cuba berpuasa tetapi tidak berdaya namun selepas memeluk agama Islam (15 tahun lalu) saya dapati berpuasa tidaklah seberat yang disangkakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Anwar, di sebalik berlapar dan dahaga dia merasai hikmah bagaimana kesusahan dialami orang miskin serta golongan kurang bernasib baik.

Katanya, walaupun sudah memeluk Islam, hubungan dengan keluarganya tetap terjalin.

"Mungkin ada sedikit masalah pada peringkat awal, namun hidup saya sekarang jauh berubah semakin tenang," katanya.

Anwar menambah, dia kini terus belajar dan mendalami ilmu agama serta sudah menjadi rutin bersama isterinya menunaikan solat fardu, dan tadarus bersama termasuk tarawih di tempat tinggalnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Josselyn atau nama Islamnya, Nur ilynna Chew, 41, dari Bukit Kiara pula berkata, pengalaman berpuasa selama 16 tahun terlalu indah dan luas untuk dikongsikan.

Isteri kepada Ismail Md Yusoff, 42, itu berkata, pengalaman tersebut akan menjadi kenangan terindah seumur hidupnya kerana diberi peluang oleh ALLAH SWT untuk merasai nikmat berpuasa pada bulan Ramadan.

"Saya perlu bangun untuk bersahur dan hanya boleh menjamah makanan pada waktu terbenamnya matahari.

“Sebelum memeluk Islam saya sudah belajar berpuasa. Saya jatuh cinta dengan agama Islam atas kerelaan hati tanpa paksaan atau desakan kerana Islam itu indah,” katanya.

Josselyn memberitahu, dia memeluk Islam 16 tahun lalu namun memaklumkan terdetik di hatinya untuk mula mendalami agama itu ketika melihat cara berpakaian sahabat-sahabat Islamnya.

“Saya sudah berlatih untuk berpuasa sebelum memeluk agama Islam lagi, jadi tidak timbul masalah bagi saya untuk mengamalkannya kerana ia mudah dan biasa sahaja,” katanya.

Beliau menambah, puasa juga mengajar diri supaya sentiasa bersikap sederhana, tidak membazir serta mengamalkan sikap mengambil berat terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

"Apa yang kita mampu makan mungkin orang lain tidak dapat makan sebab itu kalau dalam bulan Ramadan apa yang kita mampu beli, kita juga harus berinfaq.

"Harapan saya selepas Covid-19 melanda ini, mohon ALLAH angkat segala dosa hamba-Nya, moga kita semua dapat menjalankan kewajiban sebagai seorang muslim yang berwibawa

"Saya juga minta agar kita semua sentiasa beringat untuk selalu bersedekah dan jangan boros terutama di bulan puasa yang barakah ini. Insya-ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!