Upah jahit baju raya naik RM5 hingga RM20

Gambar dari kiri: Nor Ashimah, Nur Farhana, Mohamad Firdaus
Gambar dari kiri: Nor Ashimah, Nur Farhana, Mohamad Firdaus
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata tukang jahit bersyukur tempahan untuk menyiapkan baju raya bagi meraikan sambutan Aidilfitri pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini.

Mohamad Firdaus Mohmad Bakari, 25, berkata, kira-kira 200 pasang baju raya tempahan diterima bermula November tahun lalu hingga awal Mac ini.

“Alhamdulillah, tempahan meningkat berbanding tahun lepas, saya berhenti ambil tempahan baju raya sejak awal Mac sebab bimbang tidak cukup masa nak siapkan semua,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, tukang jahit berasal dari Muar, Johor itu mengakui dia terpaksa menaikkan sedikit upah susulan harga peralatan jahit turut mengalami peningkatan awal tahun ini.

“Saya sendiri pun tidak boleh nak tanggung semua sebab barangan keperluan menjahit makin mahal.

“Lagipun, saya juga ada sertai kelas menjahit, jadi dengan kemahiran dan harga barang ini saya padankan dengan upah yang diterima buat masa sekarang.

“Upah menjahit sekarang mengalami kenaikan sekitar RM5 hingga RM10 bagi sehelai pakaian, tetapi saya tidak naikkan harga terlalu melampau disebabkan lokasi saya adalah di luar bandar,” ujarnya.

Seorang lagi tukang jahit, Azira Mohd Rafek, 34, pula berkata, setakat November hingga awal Mac lalu, dia hanya mengambil tempahan raya tidak lebih daripada 150 pasang berikutan dia juga mengambil tempahan secara pukal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kos upah jahit baju terpaksa dinaikkan sekitar RM10 hingga RM20 berikutan kenaikan harga barang jahit dan juga pertambahan upah gaji pekerja.

“Kos upah berbeza mengikut kedai, misalnya sebelum ini baju kurung moden harga asas saya jual RM60, sekarang RM70 bergantung pada jenis rekaan yang diterima,” jelasnya.

Tukang jahit terpaksa menaikkan kos upah jahit susulan harga peralatan jahit turut mengalami peningkatan pada awal tahun ini. - Gambar hiasan
Tukang jahit terpaksa menaikkan kos upah jahit susulan harga peralatan jahit turut mengalami peningkatan pada awal tahun ini. - Gambar hiasan

Kenaikan harga barang

Menurut seorang lagi tukang jahit, Nor Ashimah Mohamad Nawawi, 34, antara barang yang mengalami kenaikan harga termasuklah zip, getah pinggang dan kertas gam.

“Saya terpaksa juga kenakan upah sekitar RM5 hingga RM10 bergantung pada jenis dan rekaan baju yang diminta.

“Contohnya, baju kurung pesak sekarang saya jual harga RM45, kalau dulu RM35.

“Awal Februari saya sudah tutup tempahan baju raya dan tahun ini saya terhad dalam 50 pasang sahaja kerana saya juga menerima tempahan menjahit langsir,” katanya yang sudah 25 tahun menjadi tukang jahit.

Sementara itu, bagi Nur Farhana Nor Sazali, 25, pada awalnya dia bimbang gara-gara tempahan yang diterima agak perlahan pada Mac lalu kerana kebiasaannya pelanggan akan menghantar dua bulan lebih awal untuk menempah baju raya.

“Bagaimanapun, setelah menghampiri Ramadan baru pelanggan kalut hendak buat tempahan jahit baju raya hingga ada beberapa permintaan pelanggan yang terpaksa saya tolak baru-baru ini.

“Buat masa ini, saya hanya ambil 100 helai baju sahaja kerana semua hantar dalam waktu yang terdekat jadi tidak mampu untuk ambil lebih kerana khuatir tidak sempat menyiapkan tempahan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!