'Abang Chik' curi 23 tabung masjid, surau dicekup

Suspek dikenali Abang Chik ditahan pada Jumaat lalu.
Suspek dikenali Abang Chik ditahan pada Jumaat lalu.
A
A
A

MELAKA - Tindakan seorang lelaki mencuri wang tabung di 23 buah masjid dipercayai untuk membeli dadah akhirnya dicekup polis pada Jumaat lalu.

Dalam Op Tabung yang dilakukan sepasukan polis lebih kurang jam 12.15 pagi, berjaya menahan suspek berusia 33 tahun di sebuah rumah di kawasan Pantai Puteri Tanjung Kling.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata, hasil soal siasat yang dijalankan suspek mengaku melakukan 23 jenayah pecah tabung masjid dan surau sekitar Melaka termasuk 16 kes di daerah Melaka Tengah, enam kes di daerah Alor Gajah dan satu kes di Jasin.

Menurutnya, suspek turut melakukan perbuatan keji itu di beberapa buah masjid dan surau sekitar Negeri Sembilan dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM5,650.

Katanya, siasatan mendapati suspek yang digelar 'Abang Chik' mendapat habuan pecah tabung dari RM3 sehingga RM500 selain melakukan perbuatan itu antara jam 12 pagi hingga 5 pagi.

Antara motosikal yang dirampas dalam serbuan itu.
Antara motosikal yang dirampas dalam serbuan itu.

"Suspek mengakui bergerak bersendirian dan hasil wang yang diperolehi daripada jenayah itu digunakan untuk perbelanjaan harian, membaiki motosikal dan membeli dadah.

"Polis turut merampas dua buah motosikal serta beberapa peralatan dan pakaian yang dipercayai digunakan dalam jenayah pecah tabung serta wang tunai RM19," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan enam rekod dadah.

Ujar beliau, suspek telah direman sehingga Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan mencuri dalam bangunan.

"Polis Melaka juga berjaya menyelesaikan 11 kes pecah tabung masjid dan surau sepanjang tahun ini," katanya.