Ancelotti sifatkan Karim Benzema penyerang terbaik dunia
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti menyifatkan penyerang Los Blancos, Karim Benzema sebagai antara penyerang terbaik dunia ketika ini biarpun semakin berusia.
Menurut Ancelotti, aksi yang dipamerkan penyerang berusia 34 tahun itu nyata mengagumkan dan terbaharu Benzema meledak hatrik ketika berdepan Chelsea pada aksi pertama suku akhir pada Khamis dan memastikan bekalan selesa menjelang aksi suku akhir kedua di Santiago Bernabeu, 13 April ini.
“Seperti wain, dia (Benzema) dilihat semakin bagus dari sehari ke sehari. Dia juga seorang pemain yang sentiasa menunjukkan sikap kepimpinan yang tinggi.
“Kesemua faktor inilah yang menjadikan kenapa dia dilihat sebagai pemain penting dalam pasukan ini.
“Lihat sahajalah aksinya ketika berdepan penyandang juara, Chelsea, dia menjaringkan tiga gol dan memberikan petanda yang cukup baik,” katanya.
Untuk rekod Real Madrid menewaskan Chelsea 3-1 pada Khamis dan kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada aksi suku akhir kedua, minggu depan.
Sementara itu, Ancelotti mengakui berbangga memiliki seorang pemain seperti Benzema dalam skuad kendaliannya ketika ini.
Katanya, Benzema merupakan seorang pemain yang memiliki kemampuan untuk menjaringkan gol selain mampu untuk membantu pasukan mengekalkan penguasaan bola.
“Bagi saya, Benzema mempunyai kelebihannya yang tersendiri, bukan hanya sebagai seorang penyerang tetapi juga sebagai seorang pemain bola sepak.
“Kelebihan itulah yang akan membantu Real Madrid mencatat lebih banyak kejayaan kelak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!