Program tadarus imarah Ramadan

Saarani (tengah) bersama jawatankuasa program Belia Perak Bertadarus selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Saarani (tengah) bersama jawatankuasa program Belia Perak Bertadarus selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Setelah dua tahun tidak diadakan, program Belia Perak Bertadarus kembali dengan penyertaan seramai 360 orang pada tahun ini anjuran Majlis Belia Negeri (MBN) Perak dengan kerjasama Pejabat Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak.

Timbalan Presiden MBN Perak, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah berkata, program tersebut sudah pun bermula sejak 1 Ramadan dan berlangsung sehingga 26 Ramadan melibatkan 18 Majlis Belia Daerah (MBD) di negeri ini.

Menurutnya, setiap daerah mempunyai 20 orang peserta dan mereka diberikan kebebasan untuk melaksanakan program tersebut sama ada di masjid, surau atau premis yang bersesuaian.

"Sebenarnya kita sudah dua tahun tidak buat beberapa program untuk pengimarahan Ramadan jadi atas inisiatif ini juga kita di bawah pejabat Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan RM1,000 kepada setiap MBD untuk menjalankan program ini.

"Acara kemuncak bagi program ini akan berlangsung pada 27 Ramadan yang akan diadakan Belia Perak Bertadarus di peringkat negeri yang dijangka diadakan di kawasan Bota," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Belia Perak Bertadarus di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Wan Mohammad Afiq berkata, bagi peringkat negeri, setiap MBD akan memilih 10 orang wakil mereka untuk bersama-sama di dalam program tersebut.

Menurutnya, program tersebut diadakan pada tahun ini berikutan banyak kelonggaran diberikan bagi aktiviti di masjid dan surau susulan fasa peralihan endemik ketika ini.

Artikel Berkaitan:

MBD yang terlibat di dalam program ini ialah MBD Kinta, MBD Ipoh, MBD Gerik, MBD Pengkalan Hulu, MBD Lenggong, MBD Selama, MBD Larut Matang, MBD Kuala Kangsar, MBD Sungai Siput Utara, MBD Kerian, MBD Perak Tengah, MBD Kampung Gajah, MBD Tapah, MBD Kampar, MBD Muallim, MBD Hilir Perak, MBD Manjung dan MBD Bagan Datuk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!