Pertahan tanjak asli Terengganu
KUALA TERENGGANU - Pembuatan tanjak asli agak jarang ditemui masa kini, apatah lagi pemakaian tanjak yang kurang diamalkan, kecuali untuk acara-acara tertentu seperti majlis perkahwinan dan yang melibatkan adat.
Menyedari tentang pentingnya untuk mengekalkan tanjak sebagai salah satu tradisi masyarakat Melayu, Persekutuan Silat Negeri Terengganu (Pesaka Terengganu) dan Biro Pembangunan Kebudayaan dan Silat Melayu telah menganjurkan Bengkel Tanjak-Mahkota Darul Iman.
Berlangsung di Muzium Negeri, bengkel yang julung-julung kali diadakan itu disertai 60 peserta dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur.
Setiausaha Agong Pesaka Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, objektif utama bengkel itu adalah bagi memperkenalkan tanjak asli solekan Terengganu yang kian dilupakan.
“Kita harapkan dengan adanya bengkel ini, ia akan dapat melahirkan ramai usahawan kraf tanjak yang mahir dan dapat mengubahnya mengikut gubahan asli, selain faham dengan falsafah tanjak itu sendiri.
“Secara tidak langsung, mereka akan dapat menghasilkan tanjak yang bermutu, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kita juga akan menubuhkan Persatuan Tanjak Terengganu Darul Iman dalam menggalakkan lagi penghasilan dan penjualan tanjak. Ia sekali gus boleh menggalakkan industri pelancongan di Terengganu apabila hasil kraf tanjak ini di tempatkan di ‘House of Tanjak Darul Iman’ yang kita rancangkan,” katanya.
Bengkel itu dirasmikan oleh Pengarah Muzium Negeri, Azmi Ngah dan turut dihadiri Naib Presiden II Pesaka Kebangsaan, Suleh Din.
Majlis adat istiadat pembukaan itu turut memperkenalkan Tanjak Kreasi Megat Panji Alam, hasil solekan Mazli Mamat yang merupakan anak Terengganu yang berpengalaman selama 10 tahun dalam penggubahan tanjak.
Pelancaran Buku Tanjak Mahkota Darul Iman yang disusun oleh Fakhrul Azman juga dibuat pada majlis itu.
“Kita akan teruskan bengkel tanjak ini memandangkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
“Pesaka Terengganu juga akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu untuk membawa program ini di sekolah-sekolah di dalam negeri Terengganu pula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!