Permulaan baik Burnley
KEMENANGAN 3-2 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Khamis dilihat sebagai satu permulaan baik buat Burnley untuk keluar dari zon penyingkiran ketika ini.
Perkara itu ditegaskan pengendali The Clarets, Sean Dyche yang menyifatkan kemenangan tersebut ibarat ‘kebangkitan’ skuad berkenaan yang dilihat mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.
“Secara keseluruhannya, kemenangan ini boleh dikatakan sebagai satu permulaan yang baik untuk kita.
“Malah saya juga memuji aksi pemain-pemain yang dilihat telah memberikan komitmen yang baik di sepanjang perlawanan.
“Selepas ini diharapkan momentum kemenangan ini akan berterusan kerana saingan EPL semakin hampir ke penghujung,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Burnley membuka jaringan menerusi Nathan Collins pada minit ke-12, sebelum penyerang Everton, Richarlison menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-18 dan 41.
Selepas rehat, The Clarets menjaringkan dua lagi gol menerusi Jay Rondriguez pada minit ke-57 dan Maxwell Cornet (min-85), bagi memastikan kemenangan.
Kemenangan itu menyaksikan Burnley yang berada pada kedudukan ketiga tercorot meraih 24 mata dan hanya dipisahkan dengan satu mata dengan Everton setelah mengharungi 29 perlawanan setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!