Bicara saman balu Jamaludin Jarjis 18 Julai depan

Jamaludin Jarjis
Jamaludin Jarjis
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis menetapkan perbicaraan tuntutan saman balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis terhadap lima anak dan ibu mertuanya, membabitkan harta sepencarian kira-kira RM1 bilion pada 18 Julai depan.

Memaklumkan perkara itu, peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar berkata, mahkamah memerintahkan pihak-pihak yang terlibat supaya menyelesaikan isu pindaan berhubung pernyataan tuntutan saman terlebih dahulu.

Beliau yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata, isu tersebut perlu diselesaikan sebelum perbicaraan bermula Julai depan.

“Perbicaraan kes ditangguh lagi buat kali ketiga, jadi kami telah memohon supaya pihak plaintif membayar kos,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Pada Khamis dijadualkan untuk perbicaraan kes saman di hadapan Hakim Syarie Haznita Hamidon yang turut dihadiri peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Puan Sri Kalsom selaku plaintif.

Pada Selasa, Kalsom memfailkan permohonan pindaan berhubung pernyataan tuntutan saman terhadap pihak terbabit.

Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018.

Wanita itu menamakan anaknya Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat meninggal dunia ketika berusia 64 tahun.

Allahyarham bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!