Tidak lapor suapan, bekas eksekutif didenda RM8,000

Seorang pekerja kontrak pembinaan dipenjara tiga tahun kerana menghantar komunikasi lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Seorang pekerja kontrak pembinaan dipenjara tiga tahun kerana menghantar komunikasi lucah melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif niaga tani Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) didenda RM8,000 atau penjara enam bulan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas gagal melaporkan suapan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis tujuh tahun lalu.

Mohd Jazid Md Jani, 52, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai eksekutif niaga tani di Klang ketika itu telah diberikan suapan cek tunai berjumlah RM5,000 yang telah ditunaikannya daripada seorang lelaki berusia 55 tahun sebagai dorongan membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja pembekalan baja cecair organik sebanyak 5,000 liter bagi input pertanian PKK daerah itu bernilai RM143,100.

Mohd Jazid telah melanggar peruntukan Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu tidak melaporkan pemberian suapan kepada SPRM atau polis berhubung penerimaan cek tunai tersebut di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa, Rawang pada 21 Julai 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Mohd Jazid yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar dikenakan hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia kini insaf serta menanggung ibu yang uzur kerana sakit tua selain dua anaknya kini menuntut di institut pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kepentingan awam mengatasi kepentingan individu dan kes tersebut adalah kesalahan yang serius.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah turut menasihati Mohd Jazid agar insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama.

"Harap muhasabah diri, kesalahan tetap kesalahan walaupun insiden tersebut pada 2015. Ingat, rasuah ini jenayah akhir zaman," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!