Keputusan SMA di Selangor menurun

Shahzihan
Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) di negeri Selangor pada tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 1.2 peratus berbanding pada tahun 2020.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pada tahun lalu peratus lulus SMA ialah 94 peratus berbanding 95.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, peratus pelajar yang mendapat pangkat 'mumtaz' (cemerlang) meningkat sebanyak 12.5 peratus iaitu seramai 411 pelajar berbanding 11.1 peratus atau 326 pelajar pada tahun 2020.

"Pencapaian pelajar SMA yang mendapat pangkat 'jayyid jiddan' (sangat baik) pula seramai 873 pelajar dengan memperoleh 26.6 peratus, manakala 'jayyid' (baik) pula 30.1 peratus atau seramai 988 pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Shahzihan berkata, pelajar SMA yang mendapat pangkat 'maqbul' (Lulus) pula sebanyak 24.7 peratus atau 810 pelajar.

Katanya, pada tahun lalu juga menyaksikan hanya terdapat 5.9 peratus atau 195 pelajar yang belum mencapai tahap minimum kelulusan (musaadah) dan memerlukan bimbingan berterusan.

"Peratusan musaadah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding tahun lalu," katanya.

Jelas beliau, seramai 3,325 calon menduduki peperiksaan SMA pada tahun lalu berbanding 2,925 calon pada tahun sebelumnya dengan peningkatan seramai 400 calon.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seramai 2,885 calon menduduki peperiksaan itu membabitkan 23 Sekolah Agama Menengah (SABK) dan empat Maahad Integrasi Tahfiz (MITS) di negeri ini.

Ujarnya, bilangan calon dari sekolah swasta dan persendirian seramai 440 calon dari 13 buah sekolah menengah Islam.

"Pada tahun lalu juga seramai 231 calon dari empat Maahad Integrasi Tahfiz Negeri Selangor dan dua sekolah tahfiz persendirian menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Agama Tahfiz Al Quran (SMATQ).

"Selain itu, seramai 18 calon Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Sabak Bernam telah menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!