Guna lampu 'strobe light' boleh didenda, penjara

Kenderaan persendirian yang menggunakan lampu 'strobe light' boleh dikenakan tindakan denda atau penjara.
Kenderaan persendirian yang menggunakan lampu 'strobe light' boleh dikenakan tindakan denda atau penjara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik kenderaan persendirian yang menggunakan lampu 'strobe light' boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, pihaknya sentiasa memantau penggunaan lampu mata 'strobe light' pada kenderaan persendirian yang kerap kali menjadi rungutan pengguna jalan raya berkenaan kelakuan yang suka mengambil kesempatan dan berlagak seperti pegawai penguatkuasa.

Katanya, terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan lampu ini dan pihak polis sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terlibat telah dikenal pasti.

"JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah 'strobe light' pada kenderaan persendirian adalah menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

"Pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tegas beliau, jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Jelasnya, menurut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti kenderaan polis, bomba, ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!