RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan: Salahuddin
SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dibahas dan diluluskan dengan kadar segera iaitu sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia sebagai jaminan terhadap kelancaran demokrasi negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
"Kita percaya pada peringkat awal penggubalan Akta Anti Lompat Parti ini berkemungkinan mempunyai kelompongan. Namun ia tidak patut dijadikan alasan untuk tidak menyegerakan pembentangan dan perbahasan mengenai akta ini.
"Penambahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.
RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan pada Isnin ini telah ditangguhkan dan akan dibuat kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun menjelaskan sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti itu dibentangkan nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!