Warga emas langgar tiga motosikal, kereta selepas jemput cucu
GOMBAK - Seorang pemandu warga emas melanggar tiga buah motosikal dan sebuah kereta selepas kenderaan jenis Suzuki Swift dipandunya hilang kawalan, dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Baru, Selayang Baru di sini pada Rabu.
Sebuah video berdurasi satu minit tular di media sosial memaparkan sebuah Suzuki Swift hilang kawalan di sebatang jalan yang sesak lalu melanggar motosikal yang berada di laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Selayang, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan video tersebut tular di Facebook pada Rabu selepas dimuat naik oleh seorang pengguna.
"Kemalangan ini dipercayai berlaku semasa lelaki tempatan berusia 79 tahun yang memandu Suzuki Swift dari Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Baru menghala ke Selayang Prima setelah selesai mengambil cucunya dari sekolah.
"Hasil siasatan awal mendapati, tempat kejadian adalah jalan lurus dan mempunyai dua lorong dan dua hala.
"Sejurus tiba di tempat kejadian Suzuki Swift tersebut dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan tiga buah motosikal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penunggang dan pembonceng salah sebuah motosikal terbabit mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan telah menerima rawatan di Hospital Selayang.
Katanya, polis sedang mengesan dua lagi penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut berikutan tiada laporan dibuat oleh individu terbabit.
"Polis juga telah membuat pemeriksaan di hospital dan mendapati tiada mangsa berkaitan kemalangan ini mendapatkan rawatan di hospital," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!