Selangor tawar Rumah Idaman bernilai RM250,000 bantu B40
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan pembinaan Rumah Idaman yang ditawarkan pada harga RM250,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi bagi membantu golongan B40 memiliki rumah pertama.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi itu merupakan inisiatif kerajaan Selangor bekerjasama dengan Nadicergas yang merupakan pemaju terkemuka dan berpengalaman luas membangunkan perumahan di Lembah Klang.
Menurutnya, projek itu akan dibangunkan di Seksyen U8, Bukit Jelutong dan ia pasti dapat memenuhi citarasa dan keperluan perumahan mampu milik kepada rakyat di negeri ini.
"Rumah Idaman sangat berbeza dengan rumah mampu milik lain kerana harganya jauh lebih rendah terutama di Lembah Klang," katanya dalam satu wawancara mengenai Pengumuman Khas Rumah Idaman di Facebook pada Khamis.
Amirudin berkata, usaha dilakukan kerajaan negeri itu bagi memastikan rakyat di Selangor dapat mendiami rumah lebih selesa.
Katanya, Rumah Idaman juga dibina dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi setiap ruang rumah mereka selain turut disediakan balkoni untuk mereka melihat persekitaran dan menghirup udara segar.
"Di samping itu, bagi setiap unit ini akan disediakan dua parkir kereta dan ia berbeza dengan pangsapuri biasa yang menyediakan satu sahaja parkir percuma.
"Bukan itu sahaja, di setiap bilik kita turut menyediakan kabinet pakaian dan penyaman udara, manakala setiap bilik air turut sediakan pemanas air," ujarnya.
Beliau memberitahu, bagi pemilik Rumah Idaman mereka mempunyai ruangan dapur turut dilengkapi kabinet dapur dan peti sejuk, manakala di ruang tamu turut dilengkapi kabinet dan televisyen 32 inci.
Jelas beliau, dasar kerajaan negeri membina Rumah Idaman bukan di pinggir bandar dan ceruk kampung yang hanya menyusahkan rakyat.
Katanya, kerajaan Selangor pada awal pelancaran Rumah Idaman sememangnya merancang supaya ia dibina berdekatan dengan kemudahan awam, pengangkutan, rumah ibadah dan pusat membeli-belah.
"Projek dibina ini merupakan perbandaran baharu yang matang dan mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan antaranya berhubung dengan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), selain berdekatan dengan institusi pendidikan seperti universiti, sekolah menengah dan rendah," jelasnya.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lanjut Rumah Idaman boleh melayari www.platselangor.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!