Sudah tiba masanya negara beralih kepada inovasi
ALOR SETAR - Malaysia perlu melaksanakan transformasi struktur asas ekonomi untuk melonjakkan pertumbuhan produktiviti susulan keadaan ekonomi ketika ini masih tenat dan lesu.
Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, sudah tiba masanya negara beralih kepada inovasi sebagai dasar baharu.
Menurutnya, ekonomi negara perlu dipacu oleh inovasi dan bukannya lagi tenaga buruh asing yang murah.
“Berdasarkan data ekonomi, negara kita jauh ketinggalan berbanding Vietnam dan Indonesia dari segi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pertumbuhan pendapatan per kapita.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) merekodkan kadar 3.1 peratus, jauh di belakang Filipina, Kemboja, Vietnam dan Indonesia.
"Ini indikator tidak sihat kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Tambah beliau, negara perlu beralih kepada inovasi sebagai dasar negara, dengan mewujudkan kerjasama pintar antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan institut pengajian vokasional dan teknikal (VTI).
Jelasnya, kerajaan boleh menggabungkan kedua-dua entiti itu untuk menghasilkan reka cipta yang boleh digunakan dalam industri dengan membangunkan industri berdaya maju seperti elektrik dan elektronik.
Mohd Azwardi berkata, produk yang mendapat permintaan tinggi di negara maju seperti tandas pintar, teknologi pintar tetingkap, kunci pintar dan sebagainya mampu dihasilkan kerana kita mempunyai struktur pendidikan bertaraf dunia selain prasarana lengkap.
“Kebergantungan kepada pelabur asing perlu dilihat secara lebih objektf. Pelaburan asing tidak boleh terus menjadi matlamat utama dalam tempoh lama.
"Model ekonomi itu mungkin sesuai pada 1980an dan 1990an, namun jika diteruskan ekonomi negara bakal ketinggalan lebih jauh berbanding sekarang.
"Tidak mustahil, rakyat Malaysia pula yang berkerja di negara jiran seperti di Singapura,” ujarnya.
Mohd Azwardi berkata, kesan daripada pandemik Covid-19 turut merencatkan rancangan pemulihan ekonomi negara terutama dalam ketidakpastian ekonomi global selain hutang negara antara petunjuk penting bagi menarik pelabur asing yang sudah tentu memberi kesan kepada aktiviti eksport dan import.
“Berikutan keadaan ekonomi yang merosot, Bank Dunia membuat kesimpulan negara ini masih ketinggalan berbanding rakan aspirasi globalnya yang merekodkan hampir tiga kali ganda tahap produktiviti.
“Antaranya, peranan dan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi, aktiviti R&D firma Malaysia menurun ketara, selain penilaian terhadap keberkesanan institusi penyelidikan awam mendapati walaupun kaitan antara akademik dan industri meningkat, secara amnya ia kekal lemah dan menjejaskan pengkomersilan hasil penyelidikan,” katanya.
Mohd Azwardi memberitahu, Malaysia bukanlah sebuah negara yang mampu menawarkan tenaga kerja murah berbanding Filipina, Indonesia dan Vietnam.
“Jika dilihat tahap pendidikan negara kita, kebanyakannya berpendidikan diploma ke atas sama ada bidang teknikal atau bukan teknikal.
"Mereka sudah tentu tidak mahu bekerja sebagai buruh asing tidak mahir sedangkan inilah yang sepatutnya menjadi asas kekuatan negara kita,” ujarnya.
Kestabilan politik pula katanya, sudah tidak menjadi keunikan Malaysia kerana Vietnam, Indonesia, Filipina dan Thailand juga menawarkan perkara sama.
Sebaliknya beliau berkata, negara memerlukan pemimpin berpengalaman, cekap serta berintegriti dalam membaik pulih ekonomi.
"Semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang harus bersatu hati. Kemajuan ekonomi harus jadi agenda penting semua ahli politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!