Amalan kesederhanaan Al-Azhar selaras konsep Keluarga Malaysia

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar Asy-Syarif telah terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep itu selari dengan seruan al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain.

"Amalan kesederhanaan ini juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

"Sesungguhnya, pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini," katanya menerusi rakaman video ucapan sempena Sambutan Hari Sedunia Al-Azhar Asy-Syarif di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, pada Khamis.

Menurutnya, kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.

Beliau berkata, manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.

"Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafir yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah.

"Kecemerlangan Al-Azhar termasuk para guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia dalam membina sebuah generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyifatkan lepasan Al-Azhar telah membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti dan alumninya dan mereka diamanahkan untuk membawa risalah Al-Azhar 'Ummatan Wasata' atau 'wasatiyyah' dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.

"Usaha ini memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada kerajaan Malaysia bagi kepentingan agama, negara dan ummah.

"Ulama Al-Azhar terkenal kerana memiliki pelbagai ilmu, namun sifat atau pendirian yang dipegang mereka tetap sederhana dan moderat.

"Mereka menjadi tumpuan dan rujukan dalam bidang ilmu agama dan diiktiraf sebagai bertaraf alami dan muktabar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!