Rakyat Malaysia 'ditawan' sindiket tipu 'online' di beberapa negara

Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA mendakwa lebih 50 rakyat Malaysia dipercayai menjadi tawanan di beberapa negara seperti Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Thailand oleh sindiket penipuan dalam talian. Foto hiasan
Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA mendakwa lebih 50 rakyat Malaysia dipercayai menjadi tawanan di beberapa negara seperti Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Thailand oleh sindiket penipuan dalam talian. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA mendakwa lebih 50 rakyat Malaysia dipercayai menjadi tawanan di beberapa negara seperti Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Thailand oleh sindiket penipuan dalam talian.

Ketua biro berkenaan, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan pihaknya menerima panggilan telefon daripada sejumlah mangsa pada Februari lepas yang meminta diselamatkan daripada menjadi tawanan sindiket sejak dua hingga enam bulan lepas.

Katanya mangsa diperdaya dengan ditawar dan dijanjikan bekerja sebagai telepemasaran dengan gaji tinggi antara AS$3,000 dan AS$4,000 sebulan.

"Kami sedang bekerjasama dengan pihak kedutaan dan Polis Diraja Malaysia untuk menyelamatkan mangsa terlibat.

"Kami juga merayu golongan muda supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah ditipu dan dikaburi dengan gaji tinggi yang ditawarkan sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Chong turut membuat panggilan video dengan dua lelaki yang mendakwa mereka dikurung dan turut dipukul oleh sindiket di Kemboja.

Lelaki itu yang enggan dikenali berkata terdapat 13 rakyat Malaysia termasuk lima wanita berusia antara 17 dan 36 tahun berada dalam kawasan sama dengannya serta mereka dipaksa untuk bekerja sebagai operator penipuan.

"Kami diberitahu supaya menipu pelanggan dan sekiranya gagal, kami akan dikurung di dalam bilik tanpa diberikan makanan selama dua atau tiga hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi lelaki berkata, dia bersama kumpulan berbeza terdiri daripada 50 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita, juga berada di Kemboja.

Lelaki terbabit berkata sebelum itu, sebahagian mangsa memasuki Kemboja menerusi penerbangan atau melalui jalan yang tidak diwartakan atau jalan tikus.

"Kami bekerja lebih dari 15 jam untuk menipu pelanggan di seluruh dunia...kami mesti mematuhi arahan atau tidak akan mengetahui nasib kami,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!