Sukan SEA: Atlet usah risau, situasi Covid-19 terkawal
PARA atlet yang akan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi diingatkan agar tidak bimbang mengenai situasi pandemik di Vietnam ketika temasya itu berlangsung bulan depan.
Walaupun Vietnam mencatat kes positif secara purata lebih 70,000 kes sehari, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, berdasarkan lawatannya ke Hanoi bulan lepas bagi meninjau persiapan temasya dwitahunan itu, situasi di negara tuan rumah masih terkawal.
"Atlet tidak perlu bimbang yang penting mereka jaga diri sendiri. Selain dianjurkan dalam konsep gelembung sukan, kita juga tidak membenarkan atlet negara untuk keluar sesuka hati kecuali ke venue acara serta balik ke hotel sahaja.
"Majlis Sukan Negara (MSN) juga telah mengatur proses pemberian makanan termasuk makanan halal kepada atlet kita. Saya lebih bimbang dari segi pungutan pingat kerana menjadi tanggungjawab pengurus pasukan untuk memastikan atlet patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan penganjur di Hanoi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nur Azmi berkata, demikian selepas mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama atlet serta jurulatih e-sukan dan olahraga di MSN Bukit Jalil.
Beliau pada masa sama juga berpuas hati dengan kerjasama diberikan kesemua persatuan sukan terlibat dalam temasya kali ini dan menyifatkan mereka sudah bersiap sedia dalam membantu atlet membawa cabaran Malaysia di Hanoi nanti.
Biarpun enggan meletak sebarang tekanan kepada atlet untuk mencipta kejayaan di Vietnam, Nur Azmi menegaskan Sukan SEA tidak boleh dianggap sebagai ‘melancong’ selepas ada antara mereka tidak dapat bertanding di luar negara susulan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas.
"Ini peluang mereka cungkil bakat serta dapat pingat..bukan holiday (bercuti) kerana sudah lama tidak keluar gara-gara COVID-19 tetapi ini (Sukan SEA Hanoi) assignment (tugasan) paling penting,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan membuat perjumpaan dalam satu majlis berbuka puasa bersama kesemua pengurus pasukan terlibat bagi mengetahui perkembangan terkini serta persiapan kontinjen negara ke temasya di Hanoi pada 13 April ini.
Malaysia dijangka menghantar 604 atlet dan 279 pegawai ke temasya sukan itu di Hanoi.
Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!