Lepasan Universiti Al-Azhar laksana tugas mulia selaku ulama: PM
KUALA LUMPUR - Lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir di Malaysia telah membentuk suatu jaringan berterusan antara universiti dan alumninya, serta diamanahkan membawa risalah Al-Azhar "Ummatan Wasata” atau 'Wasatiyyah' dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada kerajaan bagi kepentingan agama, negara dan ummah.
Menurut Perdana Menteri, ulama Al-Azhar terkenal kerana memiliki pelbagai ilmu, namun sifat atau pendirian yang dipegang tetap sederhana dan moderat, selain mereka menjadi tumpuan serta rujukan dalam bidang ilmu agama dan diiktiraf sebagai bertaraf ‘alami dan muktabar.
"Al-Azhar Asy-Syarif juga menjadi sebuah institusi agama yang berjaya melahirkan ribuan alim ulama, dengan membawa pemikiran Wasatiyyah Islam dalam menangani pemikiran ekstremisme dan fanatisme di seluruh dunia.
"Semoga Allah S.W.T memelihara Al-Azhar Asy-Syarif dan para pendukung manhajnya," katanya ketika berucap menerusi perutusan dalam talian sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung universiti berkenaan telah terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.
Menurut Ismail Sabri, konsep itu selari dengan seruan al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk, malah amalan itu selaras konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
"Kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.
Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini," katanya.
Beliau berkata, Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafirkan yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah.
Ismail Sabri berkata, kecemerlangan Al-Azhar termasuk para guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj Wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan umat Islam di Malaysia dalam membina generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat.
"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Sedunia Al-Azhar Asy-Syarif, semoga Al-Azhar terus melakar kecemerlangan dan kegemilangan yang berterusan," katanya.
Beliau berkata, majlis sambutan Hari Al-Azhar Sedunia amat besar ertinya kepada umat Islam di Malaysia yang banyak terhutang budi kerana sumbangan pendidikan dan pemikiran Islam universiti tersohor berkenaan.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, sambutan itu juga mengukuhkan hubungan peringkat kerajaan antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan.
Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan, kira-kira 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di universiti itu, sekali gus menjadikannya bilangan pelajar antarabangsa yang paling ramai.
"Justeru, penghargaan patut diberikan kepada Al-Azhar Al-Syarif terutamanya Fadhilah Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Muhammad Al-Tayyeb kerana sumbangan penting mereka dalam mendidik pelajar Malaysia.
Alhamdulillah untuk makluman kita bersama, Al-Imam Al-Akbar telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2020," katanya.
Turut hadir dalam sambutan itu hari ini ialah Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!