Bapa maut, anak perempuan cedera kereta rempuh pokok

No Image Caption
A
A
A

MUKAH - Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok di Jalan Orang Kaya Setia Raja, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari, kereta dipandu Hassan Rajak, 51, sedang bergerak dari arah Kampung Tellian Laut menuju ke Pasar Baru Mukah.

"Ketika sampai di suatu lokasi di Jalan Orang Kaya Setia Raja, Mukah kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.

"Akibat kemalangan itu pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami patah tangan kiri, kaki kiri dan luka bahagian kepala manakala anak perempuannya Nursyamimi, 21, tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata sebaik sahaja menerima laporan kemalangan pada 2.14 petang tadi, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah telah digerakkan ke lokasi kemalangan untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!