Tangguh RUU Anti Lompat Parti, Azalina persoal mana keikhlasan

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan keikhlasan dalam mewujudkan undang-undang antilompat parti di negara ini apabila pembentangan tersebut sekali lagi ditangguhkan.

Ia susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan.

“Di manakah keikhlasan?” ciap Azalina di Twitter pada Khamis.

Pada Khamis, Wan Junaidi berkata, RUU yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin depan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang, sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.

Dalam masa sama, Wan Junaidi mengakui kecewa dengan keputusan penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang telah diusahakannya selama lapan bulan.

Bagaimanapun katanya, sebagai anggota kabinet, beliau perlu bersetuju dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat itu dibentangkan kelak.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti memerlukan kajian dan penelitian mendalam sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung tindakan lompat parti timbul pada masa akan datang.

Ia pertama kali dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!