'Rumah belum duduk dah rosak'

Taman Muafakat Dulang belum dapat diduduki.
Taman Muafakat Dulang belum dapat diduduki.
A
A
A

YAN - Biarpun masih belum mendapat kunci, penerima rumah Taman Muafakat Dulang tetap datang ke taman berkenaan bagi membersihkan kediaman masing-masing.

Penerima, Mansor Ahmad, 48, berkata, semua penerima sudah mengetahui nombor rumah masing-masing selepas proses cabutan undi yang dilakukan Majlis Daerah Yan, November lalu.

Katanya, dia dan penerima yang lain telah menandatangani surat perjanjian dan membayar wang bulanan yang ditetapkan sebanyak RM150 bagi membayar infrastruktur seperti jalan dan kemudahan lain.

"Bulan lepas kami dah bayar deposit sebanyak RM300 dan wang bulanan sebanyak RM150.

"Difahamkan RM150 itu perlu dibayar untuk tempoh lima hingga enam tahun," katanya ketika ditemui di rumah berkenaan.

Rumah yang mengalami kerosakan bumbung.
Rumah yang mengalami kerosakan bumbung.

Menurutnya, kediaman berkenaan mengalami banyak kerosakan dari segi bumbung, pendawaian elektrik, tingkap dan dinding.

"Banyak rumah dah kena ceroboh dan hilang meter elektrik, meter air dan juga cermin dipecahkan.

Artikel Berkaitan:

"Rumah ni dah lama siap tapi bila belum duduk, ada pihak tak bertanggungjawab yang ambil kesempatan pecah masuk rumah," katanya.

Habibah sedang membersihkan lantai rumahnya.
Habibah sedang membersihkan lantai rumahnya.

Mengakui masalah sama, Habibah Hanapiah, 39, berkata, dia dan suami terpaksa datang membersihkan kawasan rumah.

"Kalau tak mai rumah akan nampak terbiar dan dipenuhi semak. Rumah saya ni pun dah pernah hilang meter air dan meter elektrik.

"Saya berharap pihak berkuasa percepatkanlah proses serah kunci pada kami sebab kami sangat memerlukan rumah ini," katanya.

Mansor sedang mencabut rumput di belakang rumahnya.
Mansor sedang mencabut rumput di belakang rumahnya.

Umi Kalsom Kasim, 35, berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat menyerahkan kunci selewat-lewatnya April ini.

"Sebab kami kalau boleh nak puasa dan sambut raya di sini," katanya.

Tunggakan bayaran

Sementara itu, Penyelaras Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah berkata, masih terdapat tunggakan bayaran kepada pihak kontraktor yang belum dijelaskan hingga menyebabkan kerja pembaikan tertangguh.

"Namun pihak saya tidak dimaklumkan tentang status rumah berkenaan yang mengalami kerosakan.

"Bagaimanapun, saya sentiasa terbuka untuk membantu asalkan penerima berjaya mendapat kunci dengan cepat," katanya.

Zahran berkata, penduduk sepatutnya perlu memastikan rumah tersebut dalam keadaan sempurna sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

"Sekarang duit bulanan dah jalan tapi tarikh sebenar untuk duduk masih menjadi tanda tanya," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Mohd Yusri Md Daud berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai rumah berkenaan kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Terdahulu, Sinar Harian pernah melaporkan berita berkaitan kelewatan penyerahan kunci bagi rumah Taman Muafakat Dulang yang sudah siap dibina sejak 28 Februari 2015.

Rumah ini dibina dengan jumlah 100 unit di mana 44 unit khas untuk nelayan pantai yang mengalami masalah hakisan.

Biarpun tampuk kerajaan negeri sudah bertukar, namun isu pemberian kunci ini masih belum selesai.

Terbaharu pada Sidang DUN Kedah lalu, Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, penduduk bakal menerima kunci rumah di Taman Muafakat Dulang dalam masa terdekat.

Katanya, penyerahan kunci akan disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan kerajaan negeri hanya menunggu tarikh perkenan daripada pejabat Tuanku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!