Pemilihan PKR 2022: Pencalonan peringkat cabang bermula esok
KUALA LUMPUR - Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula esok hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, pencalonan akan dilaksanakan secara dalam talian dan serentak dengan itu kempen pemilihan secara rasmi bermula.
"Bagaimanapun pusat pencalonan secara fizikal akan dibuka sepanjang tempoh itu bagi membantu anggota yang ingin mencalonkan diri mereka melalui aplikasi ADIL,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.
Zaliha berkata, bagi pencalonan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), ia akan dilaksanakan pada 11 April dan pusat pencalonan dibuka di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya kecuali di Sabah dan Sarawak, yang mana calon boleh hadir ke pusat pencalonan disediakan di dua negeri itu.
Selepas selesai proses pencalonan, senarai calon akan dipaparkan di aplikasi dan laman sesawang ADIL sebelum tempoh bantahan dibuka selama dua hari iaitu pada 13 dan 14 April.
Ia diikuti pemakluman bantahan pada 15 April, manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April."Bagi proses pengundian pula, ia akan dilaksanakan secara hibrid iaitu pada 13 hingga 17 Mei secara fizikal manakala pada 18 hingga 20 Mei secara dalam talian.
"Pengundian secara fizikal akan dilaksanakan di pusat pengundian yang disediakan di cabang masing-masing iaitu satu cabang membuka sekurang-kurangnya satu pusat pengundian, tertakluk kepada permintaan Majlis Pimpinan Negeri (MPN)," katanya.
Pemilihan parti kali ini, akan memilih enam jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap PKR serta cabang.
Ia dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.
Bagi jawatan Naib Presiden antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.
Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli pula mengesahkan bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!