Rusia dedah video peluru berpandu serang depot minyak Ukraine
MOSCOW - Satu rakaman video yang didedahkan Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan dua buah peluru berpandu jelajah supersonik P-800 Oniks dilancarkan dari Crimea ke sasarannya iaitu depot bahan api milik angkatan tentera Ukraine baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov berkata, sebanyak lima depot bahan api Ukraine telah musnah akibat serangan peluru berpandu Rusia pada 6 April lalu.
Menurutnya, lima depot minyak itu terletak berhampiran bandar Radekhov, Kazatin, Prosyanaya, Nikolayev, dan Novomoskovsk.
Depot tersebut membekalkan bahan api kepada kenderaan-kenderaan perisai Ukraine yang beroperasi berhampiran Kharkov dan Nikolayev serta di Donbass.
Peluru berpandu Oniks mampu bergerak pada kelajuan sehingga 2.6 Mach dan mengenai sasaran sejauh 600 kilometer.
Ia dilancarkan dari sistem peluru berpandu K-300P Bastion-P.
Peluru berpandu itu boleh dilancarkan bukan sahaja dari darat tetapi juga dari jet pejuang dan kapal perang.
Tentera Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu atas arahan Presidennya, Vladimir Putin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!