Teruja Phoenix terbang tinggi di Petaling Jaya

Aksi Darren Lok (tengah) ketika berdepan TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Aksi Darren Lok (tengah) ketika berdepan TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
A
A
A

PENGENDALI PJ City FC, P Maniam tidak menyangka The Phoenix mampu melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, yang dipacu hatrik penyerang, Darren Lok.

Malah kata Maniam, setiap pemain berhasil memainkan peranan masing-masing baik di bahagian tengah, pertahanan dan juga serangan untuk tidak memberi peluang kepada skuad kendalian Nafuzi Zain melakukan asakan.

Beliau juga seakan-akan masih tidak percaya The Phoenix mampu beraksi cemerlang untuk mendapatkan tiga gol di separuh masa pertama selain berusaha memastikan gawang tidak dibolosi sehingga perlawanan berakhir.

“Ini satu keputusan yang saya sebagai jurulatih pun terkejut sebab 3-0 ini sesuatu yang sungguh ajaib dan pemain pun berada dalam landasan betul untuk mereka menunjukkan prestasi menakjubkan.

“Darren menjaringkan tiga gol di mana itu bantu kita untuk bermain dengan lebih yakin dan apabila separuh masa pertama dah dapat tiga gol, di separuh masa kedua kita dah boleh mengawal perlawanan dengan positif.

“Semestinya semua pemain terutamanya pertahanan bermain dengan bagus sebagai satu unit dan itulah sebabnya kita tidak dibolosi, jadi saya berbangga dengan pemain yang memberikan 200 peratus semasa bermain untuk bertahan.

“Kita layak untuk menang dan Terengganu tidak boleh bermain permainan mereka sebab kita bagi tekanan terutamanya daripada tiga penyerang iaitu Darren, Mahalli Jasuli dan S Kumaahran serta dua pemain tengah juga bekerja keras, jadi inilah sebabnya kita mampu menang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!