Kekal harga ayam golek walaupun kos meningkat

Hairulnizam (kanan) menunjukkan ayam golek yang diperap dengan rempah istimewa.
Hairulnizam (kanan) menunjukkan ayam golek yang diperap dengan rempah istimewa.
A
A
A

PONTIAN - Berbekalkan pengalaman selama 10 tahun, Hairulzam Saat, 52, berjaya mengusahakan jualan ayam golek sempena Ramadan di Ayer Baloi di sini.

Ayam golek yang diperap dengan rempah istimewa itu masih dijual pada harga lama sekali gus menjadi tarikan kepada pelanggannya untuk terus menikmati hidangan istimewa itu.

Hairulnizam berkata, walaupun berlaku peningkatan harga ayam dan bahan mentah di pasaran, namun harga jualan ayam golek tetap sama seperti dua tahun lalu iaitu RM24 seekor manakala RM12 untuk separuh.

"Harga ayam mentah sekarang tidak menentu, ketika ini ia hampir RM10 sekilogram. Keadaan ini berbeza berbanding negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harga ayam tidak lebih RM6 sekilogram.

"Bahan mentah lain juga meningkat naik harganya tetapi saya tetap kekalkan ramuan asal dengan gabungan pelbagai rempah termasuk lada kering, bawang, serai, halia dan madu supaya rasa ayam golek tidak berubah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ayam golek diusahakan Hairulnizam masih mengekalkan harga dua tahun lalu biarpun harga ayam dan kos bahan mentah meningkat naik.
Ayam golek diusahakan Hairulnizam masih mengekalkan harga dua tahun lalu biarpun harga ayam dan kos bahan mentah meningkat naik.

Menurut Hairulnizam, memasuki bulan Ramadan, dia dan pekerjanya tidak menang tangan menyediakan antara 200 hingga 300 ayam mentah sehari yang diperap dengan rempah istimewa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ayam perlu diperap awal bagi membolehkan rempah meresap ke dalam daging sebelum dibakar di atas arang menggunakan dua mesin pembakar khas.

"Pada Ramadan kali ini, sambutan amat menggalakkan kerana orang ramai sudah mula mengunjungi bazar Ramadan selepas lebih banyak kelonggaran diberikan di bawah Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April lalu.

"Saya cukup bersyukur dengan keadaan ini memandangkan ketika PKP dua tahun lalu, perniagaan ayam golek dilakukan secara dalam talian atau tunai bayar waktu terima (COD)," katanya.

Zam Ayam Golek laris dijual di Bazar Ramadan Ayer Baloi.
Zam Ayam Golek laris dijual di Bazar Ramadan Ayer Baloi.

Jelasnya, perniagaan ayam golek yang turut dikenali sebagai Zam Ayam Golek itu kini menjadi tarikan pengunjung untuk Bazar Ramadan Ayer Baloi.

"Ada yang sanggup beratur untuk membelinya. Alhamdulillah, ayam golek mempunyai peminat setia bukan sahaja dari Pontian malah daripada Johor Bahru, Kluang, Simpang Renggam, Batu Pahat, Bukit Batu dan Kulai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!