Juruteknik rugi lebih RM200,000 terjerat Love Scam
SEREMBAN- Seorang juruteknik lelaki terpaksa menanggung kerugian sehingga RM222,473.15 selepas terjerat dengan 'Love Scam'.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 45 tahun itu berkenalan dengan seorang wanita melalui Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling iaitu doktor dari Yaman pada Januari lepas.
"Setelah persahabatan terjalin, Mei Ling memberitahu bahawa akan menghantar kepadanya bungkusan yang berisi wang satu million USD dan mangsa perlu membuat pembayaran bagi penghantaran bungkusan tersebut.
"Mangsa yang terpedaya telah masukkan duit berjumlah RM25,137 pada 18 Februari ke dalam akaun bank atas nama Samizah Binti Said, seterusnya pada 10 Mac RM60,650 ke dalam akaun sama kemudian RM60,000 pada 14 Mac atas nama Sellyhia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, kedua-dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di Kastam Kemboja dan lapangan terbang Kemboja.
"Pada 28 Mac pula, Mei Ling telah memberitahu bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama mangsa dan pembayaran sebanyak RM76,686 perlu dibuat bagi urusan tersebut.
" Mangsa telah masukkan wang berjumlah RM76,686 ke dalam bank atas nama Samizah Binti Said pada hari yang sama namun sekali lagi pada 31 Mac lalu Mei Ling memintanya membuat pembayaran RM41,000 kerana bungkusan tersebut telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Tiada sebarang pembayaran dibuat oleh mangsa kerana mangsa tiada duit dan berasa telah ditipu oleh Mei Ling," katanya.
Aibee berkata, oleh sebab itu mangsa datang ke balai polis buat laporan dan hasil siasatan awal mendapati mangsa sudah berkahwin dan telah berkenalan dengan wanita itu hampir sebulan.
"Dia terpedaya dengan kecantikan serta janji manis yang diberikan oleh wanita tersebut yang mana transaksi yang kesemuanya dilakukan secara tunai dan berurusan melalui kaunter bank.
"Suspek juga telah mengajar mangsa untuk menjawab kepada pihak bank bahawa duit-duit tersebut dimasukkan atas urusan membayar hutang, memberi perbelanjaan dan beri pinjaman agar pihak bank tidak mengesyaki apa-apa terhadap transaksi ini.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!