Zahid, Najib bukan beban, bantu UMNO menang
PONTIAN- "Semua yang kita (UMNO) menang sebelum ini, ada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak," jelas Setiausaha Agung UNMO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangan Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menjadi milik UMNO jika kedua-dua pemimpin terbabit bersara.
"Kehadiran kedua-dua pemimpin itu bukan beban parti sebaliknya kehadiran mereka telah banyak membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Johor baru-baru ini.
"UMNO tidak akan sisihkan Ahmad Zahid kerana beliau belum didapati bersalah oleh mahkamah. Manakala Najib pula masih tidak selesai lagi seluruh proses kehakimannya. Tidak boleh buat kesimpulan di situ," katanya ketika ditemui selepas meninjau Bazar Ramadan di Pekan Ayer Baloi di sini pada Khamis.
Pada Khamis, Zainal Kling dilaporkan berkata selagi terdapat pemimpin yang mempunyai masalah di mahkamah dan terpalit dengan isu rasuah iaitu Ahmad Zahid dan Najib Razak, UMNO dan BN tidak mampu mencapai matlamat kemenangan sepenuhnya.
Justeru, beliau mengingatkan UMNO tidak boleh terlampau yakin dan selesa dengan kemenangan beberapa PRK dan PRN sebelum ini.
Tambah Ahmad Maslan kenyataan Zainal dilihat sebagai pandangan seseorang kerana UMNO perlu melihat kepada isu sebenar yang berlaku kepada kedua-dua pemimpin itu.
Sebelum ini, media melaporkan meskipun populariti Najib dilihat meningkat kebelakangan ini namun, hanya empat peratus pengundi mahu beliau kembali menerajui negara.
Maklumat itu dikongsi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendakwa, data berkenaan merupakan dapatan kajian yang dilakukan pada akhir Februari lepas.
Bahkan, dakwa Rafizi, Ahli Parlimen Pekan itu merupakan pilihan terakhir selepas lima tokoh politik lain termasuk seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!