'Pengawal keselamatan' dakwa beli kad pengenalan palsu serendah RM250
SHAH ALAM - Seramai lapan lelaki warga Filipina ditahan dalam operasi di tiga lokasi berasingan di sini pada Khamis kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan orang lain untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Nooruladzim Ateman berkata, kesemua warga asing tersebut mengaku memperoleh kad pengenalan berkenaan daripada ejen yang menjualnya dengan harga RM250 hingga RM500.
"Siasatan awal mendapati kesemua lapan lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 48 tahun itu berasal dari Basilan, Filipina.
"Semasa operasi dijalankan, berlaku pergelutan antara tiga pengawal keselamatan dengan penguat kuasa JPN bagi mengelakkan dari ditahan.
"Bagaimanapun dengan pengalaman dan ketangkasan anggota operasi berjaya menahan kesemua pengawal keselamatan untuk proses dokumentasi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat.
"Jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!