Langgar SOP: Pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun RM70,000
KUALA LUMPUR - Seramai 67 pengunjung dan tiga pemilik pusat hiburan dikompaun dengan nilai keseluruhan RM70,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tiga operasi berasingan di sekitar ibu negara di sini, lewat malam Khamis.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kesemua individu terbabit melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) PPN 2021.
"Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama, 31 kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di premis kedua dan 27 kompaun dikeluarkan kepada pengunjung di premis ketiga.
"Nilai kompaun yang dikeluarkan adalah RM1,000 bagi setiap individu dan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan dalam serbuan malam tadi adalah berjumlah RM70,000," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh dengan SOP ditetapkan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP khususnya di pusat hiburan boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi aplikasi mudah alih Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun di telefon pintar.
"Polis Kuala Lumpur amat menghargai sebarang bentuk maklumat daripada orang ramai demi kesejahteraan masyarakat bersama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!