Peminjam PTPTN diminta rebut peluang diskaun bayaran balik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta supaya merebut peluang insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang berakhir 30 April ini.

PTPTN dalam kenyataan pada Khamis berkata, berdasarkan rekod bagi 1 November 2021 sehingga 28 Februari 2022 lalu, seramai 367,433 peminjam telah menikmati insentif ini melibatkan jumlah bayaran balik yang diterima sebanyak RM755.28 juta dengan jumlah diskaun yang diberikan sebanyak RM112.4 juta.

Menurut kenyataan itu, melalui pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021 lalu, kerajaan bersetuju untuk memberikan insentif diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 12 peratus untuk bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

“PTPTN berharap agar semua peminjam melaksanakan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman mereka bagi memastikan PTPTN dapat meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

“Pelbagai kemudahan saluran bayaran balik telah disediakan termasuklah secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat seperti melalui perbankan internet, JomPAY, MyPAY, Shopee, Portal Rasmi PTPTN (FPX) dan yang terkini melalui aplikasi mobile app myPTPTN. Rebutlah peluang membuat bayaran balik dan menikmati insentif diskaun sebelum 30 April 2022,” katanya.

Tambahnya, PTPTN juga sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam yang mempunyai sebarang persoalan melalui inisiatif #PTPTNSediaBantu.

“Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui pelbagai saluran disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!