Bazar Ramadan: Sembilan notis peringatan dikeluarkan
MACHANG - Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Machang mengeluarkan sembilan notis peringatan pemeriksaan kesihatan pengendali makanan kepada peniaga di bazar Ramadan di jajahan ini pada Khamis.
Pegawai Kesihatan Daerah Machang, Dr Shahrol Nizam Abu Bakar berkata, notis di bawah Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009 itu melibatkan kesalahan tidak menghadiri latihan pengendali makanan dan tiada sijil latihan, tidak mendapat suntikan anti tifoid, tidak memakai kasut, apron dan tutup kepala semasa mengendali makanan serta memakai jam, cincin serta gelang semasa mengendali makanan.
"Kami sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di daerah ini supaya setiap hidangan berada dalam keadaan terbaik.
"Hal ini bagi memastikan makanan yang disediakan di premis makanan adalah selamat untuk dimakan oleh pengguna," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Turut hadir dalam operasi tersebut Ketua Jajahan Machang, Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain.
Menurutnya, sebanyak 66 bazar Ramadan diperiksa sepanjang operasi tersebut.
Beliau berkata, sebanyak 243 premis bazar Ramadan akan diperiksa sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Dr Sharol Nizam berkata, seramai 35 kakitangan PKD Machang dan Majlis Daerah Machang (MDM) akan terlibat dalam operasi tersebut.
"Sebanyak 10 sampel makanan yang merupakan minuman, makanan berisiko tinggi dan separuh masak akan diambil untuk analisis mikroorganisma dan kimia.
"Adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis dan pengendali makanan untuk memastikan gerai sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya memilih premis yang bersih ketika membeli makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!