Rayzam Shah tekad rampas balik emas di Hanoi

Rayzam Shah beraksi pada acara 110 meter berpagar sempena Sukan SEA 2019 di Athletics Stadium, New Clark City. - Foto Bernama
Rayzam Shah beraksi pada acara 110 meter berpagar sempena Sukan SEA 2019 di Athletics Stadium, New Clark City. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH 110 meter lari berpagar negara Rayzam Shah Wan Sofian bertekad untuk membalas dendam terhadap igauan buruk dialaminya di Sukan SEA 2019 di Filipina, dengan menghadirkan kilauan emas pada aksi di Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Pelari dari Sabah berusia 34 tahun itu yang telah membuat kemunculan enam kali di Sukan SEA, berazam untuk tampil lebih bertenaga bagi memastikan pingat emas kembali menjadi miliknya di Hanoi, yang berkemungkinan besar menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya dwitahunan itu.

"Mungkin ini yang terakhir, kalau boleh saya mahu lebih berjaya dan balas dendam (peristiwa Sukan SEA 2019).

"Saya mahu buat yang terbaik untuk rampas kembali emas dimenangi pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi lawatan dan perjumpaan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad bersama atlet serta jurulatih e-sukan dan olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, pada Khamis.

Kontroversi di Sukan Sea Filipina kira-kira tiga tahun lepas, menyaksikan Rayzam Shah dan atlet naturalisasi tuan rumah Clinton Kingsley Bautista mencatat masa yang sama iaitu 13.97 saat dalam acara tersebut, namun pihak teknikal pertandingan memberikan kemenangan kepada Clinton berdasarkan 'photo finish' sekali gus membuatkan atlet negara itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Dalam pada itu, Rayzam Shah berkata, beliau yang percaya akan menjadi atlet paling senior dalam acara itu di Hanoi, tetap berwaspada dengan kemunculan beberapa atlet muda antaranya dari Filipina, Singapura dan Indonesia yang dijangka boleh menggugat impiannya meraih emas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata keinginan Rayzam Shah merampas emas sangat tinggi dan mengagumi kesungguhan dilakukan atlet itu menjelang Sukan SEA Hanoi yang berbaki kira-kira lima minggu lagi.

Artikel Berkaitan:

Mohd Manshahar menjelaskan Rayzam Shah sanggup meninggalkan pusat latihannya di Sabah untuk berlatih di MSN Bukit Jalil lebih awal bagi persiapan terakhir sebelum bertanding di temasya itu.

Selain emas pada edisi 2017, Rayzam Shah sebelum itu mencipta kejutan apabila merangkul emas pada penampilan pertama di pentas Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, selain pernah meraih tiga lagi pingat perak bagi edisi 2011, 2013 dan 2015. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!