Hospital Pantai agih 500 bubur lambuk
SUNGAI PETANI - Hospital Pantai Sungai Petani mengagihkan 500 bekas bubur lambuk dan kurma secara pandu lalu kepada pengguna di Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini, pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Sungai Petani, Tio Bee Chan berkata, bubur lambuk dan pek kurma tersebut dimasak dan disediakan oleh kakitangan hospital secara eksklusif.
Menurutnya, pengagihan turut disertai 20 kakitangan hospital termasuk beberapa doktor pakar di plaza tol tersebut bermula selepas Asar.
"Agihan secara pandu lalu di plaza tol tahun ini adalah lebih mudah serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan orang ramai berhimpun ketika mendapatkan juadah berbuka puasa itu," katanya.
Beliau menjelaskan, Program Raikan Ramadan tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan bawah tanggungjawab sosial korporat untuk mengeratkan hubungan kakitangan dan masyarakat setempat.
"Kami gembira dapat menyediakan makanan juadah berbuka puasa khususnya kepada pengguna jalan raya, diharapkan sedikit sebanyak membantu menjimatkan masa mereka sekiranya tidak sempat sampai ke destinasi.
"Mereka juga sebahagian daripada kami di mana ada juga di antaranya adalah pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan hospital, jadi ia adalah salah satu sumbangan kecil yang dikongsi bersama," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna agar sentiasa menjaga SOP bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19 walau di mana jua berada.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai perkongsian Covid-19 mahupun berkaitan Hospital Pantai Sungai Petani melalui laman sosial facebook.com/pantaihospitalsungaipetani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!