Usaha kesan mangsa runtuhan batu kuari masih diteruskan
IPOH - Polis memberi jaminan tidak menghentikan operasi mengesan dua pekerja kuari yang tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands di sini bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya juga belum membuat sebarang keputusan untuk menghentikan operasi yang telah memasuki hari ke-31 itu.
Katanya, pengusaha kuari memberi kerjasama baik dalam usaha mengesan kedua-dua mangsa, begitu juga jentera yang digunakan.
"Setakat ini, operasi belum membuahkan hasil lagi namun, kita masih lagi meneruskan operasi untuk mengesan kedua-dua mangsa. Itu jaminan yang saya boleh bagi.
"Selepas ini kalau kita berjumpa dengan semua agensi berkaitan dan buat keputusan sebaliknya itu belum tahu lagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 9.15 pagi pada 8 Mac lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!