Fokus dulu usaha tangani beban hidup rakyat, kata pakar

Roshaiza Taha
Roshaiza Taha
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan infrastruktur berskala besar tidak seharusnya dilaksanakan dalam keadaan ekonomi sekarang, sebaliknya kerajaan perlu memberi lebih tumpuan untuk tangani beban hidup rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Roshaiza Taha berkata, apa yang menjadi keperluan mendesak ketika ini adalah rata-rata rakyat inginkan kos sara hidup diturunkan dan harga komoditi seperti sawit dan getah kembali stabil.

“Meskipun begitu, kerajaan boleh melaksanakan pembangunan tetapi kena lihat kepada keperluan dan objektifnya? Adakah rakyat akan mendapat manfaat daripada projek-projek yang dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh projek mega di Kedah libat kos lebih RM3.2 bilion

“Ini kerana sekiranya projek pembangunan tetap dilaksanakan dalam tempoh ini ia pasti akan menjejaskan agihan kewangan negara untuk tujuan subsidi atau bantuan kepada rakyat.

“Perkara-perkara sebegini akan menambahkan lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan, malah ada beberapa projek yang dilaksanakan sebelum ini tidak mencapai matlamat asal,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Terengganu antara contoh pembangunan yang tidak mencapai matlamat asal.

“LTSM pada asalnya dinaik taraf untuk kegunaan antarabangsa, tetapi akhirnya ia sekadar digunakan untuk jemaah haji ke Makkah, bukan tujuan perdagangan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Pada asalnya ia satu pembangunan yang cukup baik, tetapi tidak memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat. Jadi pastinya kita tidak mahu projek-projek yang ingin dilaksanakan kerajaan dalam tempoh waktu mencabar ini menambahkan lagi jumlah projek gajah putih.

“Justeru, langkah terbaik yang perlu kerajaan ambil ketika ini adalah dengan tidak membuat pembangunan berskala besar tetapi lebih tumpukan kepada usaha untuk tangani kos sara hidup rakyat. Itu seharusnya menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan berskala besar di beberapa negeri.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan kerajaan pusat meluluskan tujuh projek dengan nilai keseluruhan RM3 bilion untuk membantu menjana pendapatan rakyat di Kedah.

Antara projek itu adalah pemberian Kad Kasih Ibu Darul Aman, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Lebuh Raya Koridor Utara, Perpustakaan Digital Alor Setar dan beberapa lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!