Penduduk kongsi rezeki, anjur buka puasa setiap hari

Mustapa (dua dari kiri) berbuka puasa bersama penduduk Kampung Kubang Rusa pada Khamis.
Mustapa (dua dari kiri) berbuka puasa bersama penduduk Kampung Kubang Rusa pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - Selepas lebih dua tahun tidak menikmati suasana berbuka puasa bersama, penduduk Kampung Kubang Rusa dekat Padang Tengku menyambung tradisi berkenaan tahun ini apabila negara kini berada dalam frasa peralihan endemik.

Mereka berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memasak secara bergotong-royong bahan-bahan yang dibeli hasil kutipan penduduk sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK), Mohd Razali Ismail memberitahu, sebelum ini aktiviti sama dilakukan namun hanya pada hari-hari tertentu tetapi kini program dilaksanakan setiap hari.

Menurutnya, sambutan menggalakkan dengan jadual sebulan sudah dipenuhi penduduk yang ingin membantu dan bersedekah.

"Setiap hari sebuah keluarga atau lebih akan berkongsi duit membeli barangan dan akan dimasak bersama di surau sebelum dijamu kepada penduduk ketika berbuka puasa.

"Setakat ini, lebih 100 penduduk pelbagai peringkat usia datang berbuka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Penduduk, Robiah Mohd Nawi,47, bersyukur kerana mereka sudah boleh berbuka puasa bersama dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan bersama penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Peluang sebegini tidak dilepaskan dan kami berkongsi rezeki mengikut kemampuan," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long memuji usaha murni 300 penduduk di kampung itu dan berharap ia berjalan lancar mengikut jadual.

Beliau turut tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!