Malaysia bersikap aneh setuju gaji minimum amah asing RM1,500: MTUC

(Gambar kecil: Kamarul Baharin Mansor) MTUC terkejut dengan tindakan Malaysia yang bersetuju untuk membayar gaji minimum RM1,500 kepada pembantu rumah Indonesia yang akan bekerja di negara ini. - Foto hiasan
(Gambar kecil: Kamarul Baharin Mansor) MTUC terkejut dengan tindakan Malaysia yang bersetuju untuk membayar gaji minimum RM1,500 kepada pembantu rumah Indonesia yang akan bekerja di negara ini. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terkejut dengan tindakan Malaysia yang bersetuju untuk membayar gaji minimum RM1,500 kepada pembantu rumah Indonesia yang akan bekerja di negara ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, tindakan kerajaan Malaysia yang secara tiba-tiba bersetuju dengan cadangan kerajaan Indonesia agak aneh, memandangkan tiada sebarang perbincangan yang dilakukan.

Menurutnya, apa yang lebih dikesalkan adalah ada pekerja domestik dikecualikan di dalam pemakaian perintah gaji minimum yang dilaksanakan semenjak dari 2013 sehingga kini.

“Bagaimanapun, jika kerajaan menetapkan gaji minimum RM1,500, MTUC mengalu-alukan persetujuan ini dan mendesak tiada pengecualian kepada mana-mana majikan untuk melaksanakan gaji minimum termasuk pekerja domestik.

“MTUC juga menyarankan kerajaan supaya gaji minimum RM1,500 yang akan dilaksanakan pada 1 Mei ini diwajibkan kepada semua syarikat tanpa ada pengecualian. MTUC sedang menunggu perbincangan dengan kerajaan berkenaan dengan mekanisme kadar gaji minimum baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 1 April lalu, kerajaan Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan penyelesaian draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai penempatan dan pelindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Difahamkan, antara peraturan di dalam MoU itu adalah penetapan gaji minimum RM1,500 yang akan dikenakan ke atas majikan Malaysia, bagi melindungi pekerja domestik atau amah Indonesia.

Selain itu, tambahan lima peratus daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan ditambah sebagai pampasan jika gaji tidak dibayar tepat pada masanya dan kegagalan berterusan untuk membayar gaji selama dua bulan berturut-turut akan memberi hak kepada pekerja rumah untuk menamatkan kontrak pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, tarikh pelaksanaan kadar gaji minimum baharu akan bermula kurang daripada sebulan, namun MTUC bimbang jika kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Tambahnya, MTUC tidak mahu sejarah perlaksanaan gaji minimum pada 2013 berulang semula dengan banyak majikan tidak membayar gaji minimum sehingga pekerja terpaksa membawa kes sehingga ke mahkamah tinggi untuk mendapatkan tunggakan gaji minimum.

“Kerajaan perlu segera mengeluarkan garis panduan untuk melaksanakan kadar gaji minimum baharu melalui pewartaan Perintah Gaji Minimum.

“MTUC akan memantau isu gaji minimum secara serius kerana harapan dan impian pekerja bawahan B40 dengan kadar baharu gaji minimum sangat tinggi. Kenaikan kos sara hidup telah memaksa golongan B40 berharap pada kenaikan gaji ini dan lebihan RM300 dapat melegakan mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!