Pemimpin politik bukan Islam dilarang masuk ruang solat masjid

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik bukan Islam perlu mengikut peraturan sebagaimana garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika berada di masjid di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mereka dilarang untuk memasuki ruang solat bagi menyampaikan sumbangan kerana kawasan itu adalah kawasan suci yang ingin dipelihara.

Menurutnya, program pengagihan sumbangan bagaimanapun dibenarkan dibuat di pekarangan masjid dengan pemimpin politik yang hadir hanya dibenarkan memberikan sumbangan sahaja.

"Bukannya mereka 'kotor' atau sebagainya tetapi mereka telah bekerja di banyak tempat dan kita hanya membenarkan (penyampaian sumbangan) di beranda dan kawasan pekarangan masjid, itu tidak ada masalah.

"Peraturan ini telah dilaksanakan lebih 10 tahun lalu serta berjalan dengan baik, tiada masalah," katanya ditemui selepas Majlis Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.

Kontroversi berhubung kehadiran pemimpin bukan Islam di masjid tercetus apabila dua pemimpin parti politik bukan Islam didakwa menyampaikan ucapan dan sumbangan di dalam masjid dipercayai di negeri ini tersebar luas di media sosial sejak Khamis.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Shazihan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan mengenai perkara itu namun menegaskan ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan ucapan di masjid.

"Kalau menyampaikan sumbangan khususnya yang beragama Islam dibolehkan namun tidak boleh menyampaikan ucapan di masjid.

Artikel Berkaitan:

"Kalau hendak beri sumbangan (di kawasan telah ditetapkan) tiada masalah namun tidak perlulah berpolitik, berbaju politik kerana itu tidak boleh.

"Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak benarkan (berkenan) dan ketetapan ini sudah dibuat pada tahun 2015 lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!