15 PATI berhimpit dalam MPV mewah dicekup
PASIR MAS - Tindakan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sanggup berhimpit-himpit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Totoya Alphad tidak berbaloi apabila dicekup oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan pada Jumaat.
Kumpulan PATI yang berusia 22 hingga 38 tahun itu ditahan selepas MPV dinaiki itu terbabas di Kampung Perangkap, Bunut Susu di sini pada jam 12.30 tengah malam.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kejayaan tangkapan PATI itu turut dibantu oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
"Semasa pemeriksaan, PGA telah menjumpai 13 PATI lelaki dan dua wanita di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang.
"Kesemua PATI itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kesemua PATI itu dikatakan akan dihantar ke Machang untuk bekerja dalam sektor pembinaan bangunan.
"Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang bertindak sebagai 'transporter' bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu mengenakan upah sebanyak RM200 untuk setiap PATI yang dibawa.
Azhari berkata, kes disiasat bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!