FAM akui pengadil buat silap batalkan jaringan Sri Pahang
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan tegas kepada semua pegawai perlawanan yang bertugas pada perlawanan Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu lalu.
Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, ia selepas laporan daripada Penilai Pengadil mendapati terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.
"Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.
"Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada perlawanan tersebut, Sri Pahang berjaya menghasilkan dua gol melalui David Rowley pada minit ke-62 serta Johan Martial pada minit ke-80, namun kedua-duanya dibatalkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir kerana didakwa ofsaid dan terdapat kekasaran dilakukan.
Malah Tok Gajah terpaksa berputih mata apabila gol pada minit-minit terakhir perlawanan gagal dikesan pengadil walaupun pengendali Pahang, Christophe Gamel mendakwa bola sudah melepasi garisan gol sepenuhnya sebelum ditanduk keluar oleh pemain Kedah, Azamuddin Akil.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Abang Zulkarnain memberitahu layangan kad merah pada aksi antara Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang Selangor FC (SFC) serta KL City FC berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan keputusan yang tepat daripada pengadil.
"Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan SFC, Yazan Al-Arab.
"FAM sudah menerima surat aduan daripada SFC pada Rabu dan sudah pun membalas surat berkenaan pada Khamis," katanya.
Beliau berkata, bagi perlawanan KL City menentang JDT, Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan KL City FC, Kenny Pallraj.
"FAM tidak menerima sebarang surat aduan daripada KL City FC," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!