Lapan direman kes rasuah RM2.3 bilion syarikat GLC

Sebahagian daripada individu terbabit diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah bagi prosiding permohonan reman.
Sebahagian daripada individu terbabit diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah bagi prosiding permohonan reman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lapan individu direman di dua mahkamah berasingan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.

Enam daripadanya menjalani prosiding permohonan tahanan reman di hadapan Majistret Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim pada Jumaat.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 1.30 petang sehingga 12 tengah malam Khamis.

"Dua individu direman selama empat hari manakala empat orang lagi direman lima hari," katanya.

Sementara itu, di Kuching, Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan permohonan reman SPRM terhadap dua individu yang masing-masing direman selama lima dan dua hari.

Salah seorang daripada individu yang ditahan diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah.
Salah seorang daripada individu yang ditahan diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah.

Kesemua suspek yang terdiri daripada jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat terbabit dipercayai terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara tahun 2017 hingga 2021.

Susulan daripada penahanan tersebut, SPRM menyita 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, lebih RM27,000 mata wang tunai asing, lebih 50 barangan kemas termasuk jongkong emas, 15 jam tangan mewah, 13 beg tangan mewah serta membekukan 12 akaun syarikat serta individu yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!