Pencalonan 20 ahli MPP, AMK, Wanita Pusat PKR ditangguh
KUALA LUMPUR - Pencalonan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi pemilihan PKR 2022 yang dijadual pada Isnin ini (11 April) ditangguh pada 28 Mei depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, penangguhan itu turut melibatkan pencalonan bagi 20 Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat dan 20 Ahli Majlis Wanita Pusat.
Bagaimanapun, menurutnya pencalonan bagi jawatan enam pimpinan utama MPP iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden serta lima jawatan utama Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita dikekalkan pada 11 April ini.
"JPP menerima baik pandangan ahli-ahli Majlis Biro Politik yang bersidang pada 6 April dan merasakan bahawa penangguhan dan pertukaran tarikh ini bertepatan dengan proses pemilihan yang bakal dilaksanakan di Kongres Nasional kelak.
"Kempen boleh dilakukan calon-calon menjadi lebih bersasar apabila individu yang menang akan diketahui lebih awal pada 21 Mei, setelah pemilihan yang dilaksanakan secara hibrid di peringkat cabang selesai pada 20 Mei. Mereka yang menang inilah bakal menjadi perwakilan ke Kongres Nasional dan layak memilih pada hari tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula hari ini hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara yang menyaksikan proses pencalonan dilaksanakan secara dalam talian.Pemilihan parti ini melibatkan jawatan tertinggi PKR iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti serta cabang.
Pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden, Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.
Bagi jawatan Naib Presiden pula antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Pengelola, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita, Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil.
Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli pula mengesahkan bertanding jawatan Ketua AMK. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!