Ahmad Zahid dapat pasport untuk mengerjakan umrah

Mahkamah Tinggi pada Jumaat membenarkan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya bagi mengerjakan umrah. - Foto Bernama
Mahkamah Tinggi pada Jumaat membenarkan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya bagi mengerjakan umrah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini boleh mengerjakan ibadah umrah selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan permohonannya agar pasportnya dikembalikan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Presiden UMNO itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, pihak pendakwaan tidak menerima arahan bagi membantah permohonan itu.

Beliau seterusnya berkata, memandangkan tarikh Ahmad Zahid menunaikan umrah bertembung dengan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 28 April, maka hari yang dilapangkan itu perlu diganti dengan tarikh baharu.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihak pembelaan berharap pasport anak guamnya itu akan dikeluarkan hari ini kerana dia memerlukannya untuk permohonan visanya.

"Anak guam saya akan berlepas dari 21 April hingga 30 April dan berjanji bahawa pasport akan dikembalikan sebelum 5 Mei,” katanya.

Hakim Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April serta 1 Julai sebagai tarikh ganti untuk perbicaraan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 23-26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 dan 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Oktober, serta 1-3 November, 7-10 November untuk perbicaraan.

Pada 13 April, Ahmad Zahid akan memberi keterangan dalam perbicaraan pembelaannya terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan tahun ini, Hakim Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap semua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan pemulangan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau menerima rawatan perubatan untuk sakit belakang dan leher daripada pakar terkemuka di Munich, Jerman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!