Sambut Ramadan dalam banjir termenung

Penduduk terpaksa mengepam air bertakung dan mengalirkan ke kawasan lain bagi mengelakkan banjir lebih buruk. Gambar kecil: Yusnizan
Penduduk terpaksa mengepam air bertakung dan mengalirkan ke kawasan lain bagi mengelakkan banjir lebih buruk. Gambar kecil: Yusnizan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sambutan awal Ramadan tahun ini tidak memberi erti kepada empat pemilik kediaman di Kampung Masjid, Sungai Layar yang terpaksa berdepan banjir termenung.

Paling terkesan ialah sepasang suami isteri Azlawati Ahmad 45, dan suami, Yusnizan Din, 50, yang terpaksa bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan bimbang paras air meningkat jika berlaku hujan lebar.

Yusnizan yang juga Orang Kurang Upaya fizikal masalah tangan dan kaki berkata, mereka kini terpaksa menumpang sementara di sebuah dewan di hadapan rumah sejak Jumaat lalu berikutan banjir termenung di dalam rumah masih setinggi 0.2 meter.

Menurutnya, tahun lepas kerap berlaku banjir tetapi air surut namun kali ini hampir seminggu air kotor, berminyak dan berbau bertakung dalam rumah.

"Saya terpaksa mengupah orang dengan kos RM200 bagi kerja-kerja mengalihkan perabot dan barangan elektrik kerana bimbang menanggung lebih banyak kerugian.

"Kami mohon pihak berkaitan menjenguk keadaan di sini kerana sudah tidak tahan lagi akibat kerap banjir. Bantu kami cari penyelesaian terbaik," katanya.

Difahamkan, air yang melimpah ialah sisa daripada perumahan berdekatan selain kerja-kerja naik taraf longkang.

Mustafa Basri Romali, 46, pula mendakwa, air memasuki kesemua saluran paip di kediamannya sehingga memenuhi mangkuk tandas dan berisiko melimpah ke dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

Air dalam rumah Yusnizan masih bertakung sejak seminggu lalu berikutan hujan lebat hampir setiap hari. Keadaan air kotor, berbau dan berminyak.
Air dalam rumah Yusnizan masih bertakung sejak seminggu lalu berikutan hujan lebat hampir setiap hari. Keadaan air kotor, berbau dan berminyak.

"Dalam keadaan berpuasa, melihat pula rumah yang dipenuhi air kotor dan perlu dicuci, memang meletihkan," katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab Haron, 66, berkata, penduduk cuba membantu dengan mengambil inisiatif menggunakan pam air bertujuan mengalirkan air bertakung ke kawasan lain yang diharap mampu mengatasi masalah itu untuk sementara waktu.

"Sekarang musim hujan, kasihanilah penduduk yang terjejas, bagaimana mereka mahu berbuka puasa apatah lagi solat dan bertarawih apabila rumah dinaiki air.

"Kami berharap akan ada jalan penyelesaian secepat mungkin," katanya.

Sinar Harian 4 April lalu melaporkan, air dari sisa perumahan melimpah ke kawasan sawah menyebabkan benih padi musnah serta tanah tidak subur.

Bagaimanapun, hujan lebat yang kerap berlaku ketika ini, menyebabkan keadaan itu bertambah buruk dan menjejaskan beberapa rumah penduduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!